INFO TERKINI KPM

Monday, January 14, 2008


Sebagai pembuka bicara, sekalung tahniah kepada En. Rosli b. Mohamed selaku blogmaster Blog SMK Raja Sakti kerana berjaya meneruskan tradisi kecemerlangan sekolah dengan berjaya menghasilkan blog Rasmi SMK Raja Sakti . Saya yakin dan percaya melalui penerbitan laman blog ini selain daripada memaparkan segala perancangan, aktiviti dan program Kurikulum , hal ehwal pelajar dan Kokurikulum sekolah, pelajar-pelajar juga turut berpeluang mengasah bakat dan kebolehan secara interaktif , kreatif dan juga ilmiah menerusi laman blog ini.

SMK Raja Sakti seperti mana institusi pendidikan lain di negara ini, merupakan satu wadah memperkasakan pendidikan yang bermatlamatkan pembangunan rohani dan jasmani insan sejagat. Sesungguhnya proses bagi membina golongan yang bersahsiah dan berdisilin bukannya satu perkara yang mudah , sekiranya tidak dilakukan dari peringkat akar umbi lagi. Justeru, pelajar haruslah bersedia untuk memperlengkapkan diri dengan merebut segala peluang yang ada bagi menjana potensi masing-masing secara maksimum. Sebagai pelajar yang berketrampilan dan berwibawa, mereka tidak seharusnya cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah sahaja, bahkan berupaya menyerlahkan bakat serta mampu meyumbangkan idea secara kritis dan inovatif kearah pencapaian sesuatu matlamat, selaras visi sekolah “ SMK RAJA SAKTI MENUJU KECEMERLANGAN”

Sesungguhnya masa depan warisan negara amat bergantung kepada pendokong wawasan kita pada hari ini. Kecemerlangan pendidikan ditentukan oleh kesepaduan dan jalinan usaha berterusan serta iltizam yang menyeluruh di kalangan seluruh warga SMKRS . Justeru budaya ikram dan semangat kerja berpasukan serta permaufakatan yang harmoni pastinya menjadi agenda utama dalam merealisasikan reformasi pendidikan dalam menggapai kegemilangan khususnya pada zaman alaf baru ini yang berpaksikan kecanggihan teknologi maklumat dalam era globalisasi.

Akhir kata , saya menaruh keyakinan bahawa menerusi penerbitan laman blog SMK Raja Sakti ini mampu melahirkan secara tidak langsung “permaufakatan digital” semua warga pendidik, PIBG, masyarakat dan para pelajar sekolah. Dan ini pasti mampu menghasilkan pendidikan yang berkualiti dan cemerlang selaras dengan matlamat dan cita-cita membina negara ini sebagai sebuah negara maju yang seimbang dan mampu bersaing di peringkat global.
WASSALAM


(TN. HJ. KAMARUL ZAMAN B. BAUD)
Pengetua SMK. Raja Sakti

Tuesday, January 1, 2008

LAGU SEKOLAH

Sakti Gemilang


Megah Di Tanah Ibunda
Raja Sakti Harapan Negara
Di Sinilah Ilmu,
Dipupuk Dicari
Bersama Menabur Bakti


Sekolah Yang Penuh Berjasa
Penyambung Warisan Bangsa
Namamu Gemilang,
Sentiasa Dikenang
Penjana Insan Yang Gemilang


Ilmu, Iman Dan Amal
Jadi Pegangan Kami
Berbaktilah
Berjasalah
Wahai Putera Puteri Raja Sakti


Ibubapa Kami Sayangi
Para Guru Kami Taati
Ya Allah… Pandulah Kami
Ke Jalan Yang Engkau Redhai

Sekolah Raja Sakti GemilangAlign Center

TAKWIM

TAKWIM

SEJARAH PENUBUHAN SMK. RAJA SAKTI

Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti telah dibuka pada 01 Januari 1965 dan menumpang di Sekolah Kebangsaan Mentuan dengan pengajaran diadakan pad a sesi petang.Seramai 99 orang murid sulung telah mendaftar di tingkatan satu dan ditempatkan di empat buah kelas.Guru Besar yang pertama ialah Tn. Hj.Chik bin Putih dengan dibantu oleh empat orang guru penolong.Pengurus bersama sekolah ini ialah Tn. Hj.Nik Hassan b. Ibrahim.

Pembinaan sekolah ini siap pada penghujung tahun 1970 dengan dua blok bangunan sekolah dan satu blok bangunan kantin di kawasan seluas 12.25 ekar di pekan Kedai Lalat kira-kira 10 kilometer dari Bandar Kota Bharu.Perasmian bangunan baru ini dilakukan pada 05 Julai 1974 oleh YB.Tn. Hj. Mohammad b.Yaacob, Menteri Pelajaran ketika itu.

Pada awalnya SMK.Raja Sakti dikenali dengan nama Sekolah Menengah Rendah Kedai Lalat sempena dengan kedudukan sekolah yang terletak di kawasan Kedai Lalat.Pada permulaan operasinya (1965) sekolah ini diberi taraf gred C.Tingkatan empat mula dibuka pada 01 Januari 1978 dan serentak dengan itu nama Sekolah Menengah Rendah Kedai Lalat telah ditukar menjadi Sekolah Menengah Kedai Lalat kemudian dinaikkan taraf ke gred B. Selepas itu,nama sekolah ini ditukar sekali lagi dengan nama Sekolah Menengah Raja Sakti kerana mengambil sempena nama Raja Sakti pengasas Kerajaan Jembal yang memerintah negeri Kelantan antara tahun 1636 hingga 1721 M.

Upacara perasmian nama baru sekolah ini dilakukan pada 12 Mei 1983 oleh YBM. Tengku Razaleigh Hamzah,Menteri Kewangan Malaysia pada masa itu .Seterusnya pada 01 Januari 1995,Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti telah dinaikkan taraf ke gred A.

Sepanjang penubuhan sekolah ini ,seramai 13 orang pengetua telah berkhidmat di sekolah ini. Pengetua sekarang ialah Tn. Hj. Kamarul Zaman bin Daud yang mula berkhidmat di sekolah ini pada kira-kira awal tahun 2006 .

SMK.Raja Sakti menerima pelajar dari sekolah-sekolah salurannya iaitu:

Sekolah Kebangsaan Cica Menyabong .

Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat

Sekolah Kebangsaan Raja Bahar .

Sekolah Kebangsaan Sering

Sekolah Kebangsaan Mentuan

VISI DAN MISI

KONSEP DAN FALSAFAH PENGURUSAN
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN RAJA SAKTI

================================================
MISI

MEMBERI PENDIDIKAN YANG MENYELURUH BAGI MELAHIRKAN MODAL INSAN YANG BERKUALITI MELALUI PENDEKATAN YANG BERSEPADU SELARAS DENGAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


VISI

SMK RAJA SAKTI GEMILANG TAHUN 2010


MOTO

ILMU, IMAN DAN AMAL


MATLAMAT


1. Menyediakan perkhidmatan yang sistematik, telus dan berkualiti melalui
pengurusan dan pentadbiran sekolah yang efisien.

2. Mempertingkatkan kecemerlangan akademik melalui pengajaran dan pembelajaran
yang berkualiti berteraskan teknologi maklumat.


3. Memupuk sahsiah pelajar yang seimbang dalam usaha membangunkan modal insan
yang gemilang.


4. Memantapkan kegiatan kokurikulum melalui penglibatan pelajar secara menyeluruh.

5. Mewujudkan suasana dan iklim sekolah yang kondusif, ceria dan selamat.

NAMA GURU

Senarai Nama Guru 2009

LENCANA SEKOLAH


TAFSIRAN WARNA-WARNA PADA LENCANA SEKOLAH

MERAH Lambang pelajar yang berani menghadapi cabaran. Ia membawa maksud bahawa keberanian adalah senjata penting untuk menghadapi segala cabaran dan rintangan hidup. Pelajar juga mesti berani tampil ke depan untuk membuktikan bahawa mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

PUTIH Melambangkan kesucian serta kebersihan. Ia bermaksud para pelajar mesti mengutamakan kesucian dan kebersihan dalam segenap aspek kehidupan.

KUNING Lambang warna Diraja Jembal. Ia membawa erti bahawa para pelajar yang dihasilkan nanti merupakan individu yang taat kepada raja dan negara mereka.

HIJAU Lambang Kedaulatan Islam

TAFSIRAN LAMBANG LENCANA SEKOLAH

BULAN DAN BINTANG Lambang Keagungan Islam

SEPARUH BULATAN BERSEGI Pembentukan Minda Yang Berteknologi. Ia juga membawa maksud bahawa Sek. Men. Keb Raja Sakti bersedia untuk memberi kemahiran teknologi kepada para pelajarnya.

BUKU Melambangkan bahawa buku adalah wahana penting untuk menimba ilmu pengetahuan

BULATAN BERTAUT Kerjasama Dan Perpaduan. Ia juga membawa maksud tekad serta semangat yang tinggi para pelajar untuk datang ke sekolah, belajar dan menimba ilmu pengetahuan sebanyak mungkin sebagai bekalan untuk memajukan diri bagi menghadapi masa depan mereka.

KERIS melambangkan Warisan Raja Jembal